Aku, stadium Merdeka. Pada dasarnya aku adalah sebuah stadium, tetapi sekarang yang tinggal hanyalah seekor Gajah putih di tengah-tengah bandar berlatar belakangkan kemodenan Kuala Lumpur.

Entah mengapa dan bagaimana, nasibku telah difahami oleh seorang jejaka yang konon-konon mempunyai banyak masa dan dia bersetuju untuk menulis apa yang aku ingin ungkapkan kepadanya.

Teringat lagi ketika itu, ketika rakyat tua muda, miskin kaya, Melayu, Cina dan India berkumpul di dalam badanku melaungkan 'Merdeka!'. 'Merdeka!'. 'Merdeka!'. Aku hampir menangis pada hari itu. Mereka menamakan aku sempena hari yang bermakna dalam sejarah negara ini. Wira-wira negara pulang dengan kejayaan membebaskan negara dari penjajahan fizikal oleh British. Tunku Abdul Rahman. Tun Sambanthan. Tun Tan Cheng Lok.

Sejak dari hari itu, lahirlah ramai kawan-kawan di sekeliling ku. Victoria Institution yang telah lama dibina sebelum aku menjadi kawan baik menemani aku selama-lamanya.

Suatu hari dia membisik, 'Tunggu dan lihat. Seorang jaguh boleh sepak bakal dilahirkan. Mokhtar Dahari nama diberi.'

Bulu-bulu roma padang rumputku telah dipijak oleh superhero-superhero zaman dahulu. 'Supermokh' Mokhtar Dahari. 'Spiderman' R. Arumugam. 'Towkay' Soh Chin Aun. 'Singh is king' Santokh Singh. Malaysia menjadi mimpi ngeri negara-negara Asia pada ketika itu. Arsenal dikalahkan, perlawanan dengan England B berakhir dengan keputusan 1-1.

Tahun '75, Muhammad Ali bertandang ke mari dan aku ditugaskan menjadi gelanggang tinju. Ali vs Joe Bugner, antara perlawanan tinju yang paling bosan dalam sejarah sukan. Lampu-lampur banjir di 4 penjuru badanku hampir tertutup kerana terlelap menyaksikan aksi tinju defensif Joe Bugner.

Namun itu semua sudah berlalu. Retakan yang muncul di kulit konkritku melambangkan proses penuaan yang sedang berlaku.

Nasibku mungkin akan sama seperti sepupu sebelah bapaku 'Highbury' di United Kingdom yang diruntuhkan untuk memberi ruang kepada stadium yang baru. Kuala Lumpur sudah ada Stadium Bukit Jalil, yang jauh lebih moden dariku. Kalau tidak pun, Stadium Shah Alam lebih diutamakan. Aku paham, aku paham. Aku hanya sebuah blok simen yang sudah jauh ketinggalan.

Aku tidak mintak diriku dikenangi, tetapi yang aku minta adalah supaya namaku dihayati, difahami, 'Apa erti merdeka sebenarnya?'

Mungkin anak-anak pasca merdeka terlupa akan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Rentap dan lain-lain. Mungkin dengan kejayaan yang dikecapi membuatkan mereka alpa.

Neokolonisasi minda dan imperialisma jiwa menggantikan penguasaan dalam bentuk penjajahan. Manusia menjadi hamba hiburan berlebihan, ilmu diketepikan. Rakyat hidup dalam kesenangan, segala perjuangan lepas dilupakan.

Tepuk dada, tanya selera.

Merdekakah kita?

Aku telah dinamakan sebagai salah satu tapak sejarah penting tidak lama dahulu. Aku tak perlukan semua itu. Aku tak perlukan pembedahan rekonstruktif untuk memperbaiki diriku.

Biar aku roboh, asalkan mereka memahami erti kemerdekaan yang sebenar.

Selamat hari merdeka.

2 comments:

Pengembara said...

dang! ko tulis sendiri ke nih? best2...

QifA said...

aha.ngarut je lebih maher.haha

top