1. Selepas bertahun lamanya menjadi peminat Liverpool FC, kelab ini akhirnya menamatkan kontrak dengan syarikat minuman keras ternama di dunia. Boleh menang liga lah lepas ini nampaknya! Ya lah, macam mana nak berkat main bola sambil mengiklankan minuman keras? Aku iringi berita ini dengan rasa penuh kesyukuran penuh ikhlas.
2. Senang sikit nak beli jersi lepas ni. Bukan apa, memang ada jersi Liverpool cetak rompak yang tulis 'Liverpool' menggunakan font tulisan jenama minuman keras itu, tapi aku nak jugaklah jersi yang nampak macam asli sikit. Peminat Manchester United mahu ke beli jersi yang tulis BIG,CIG,ZIG kat depan? Nak ke peminat Arsenal pakai jersi tertera 'Fly Sekolah' di dada?
3. Diharapakan lepas ini Celtic dan Real Madrid dapat mengikuti jejak langkah murni ini dengan menamatkan kontrak bersama syarikat minuman keras yang tidak begitu ternama dan syarikat judi alam maya.
4. Selepas sambutan Raya, rakyat Malaysia akan kembali menumpukan perhatian kepada kes Kartika yang ditangguhkan hukumannya. Hakim Mahkamah Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Md. Yusof tetap dengan pendiriannya, dan saya bersetuju dengannya.
5. Mari kita lihat balik al-Qur'an, bagaimana pengharaman alkohol (dan sewaktu dengannya lah!) dilaksanakan oleh Allah. Allah menurunkan 3 ayat; 4:43 pada mulanya, yang melarang manusia bersolat dalam keadaan mabuk, kemudian turunlah pula 2:219 yang menyebut "..pada keduanya (arak dan judi) ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar" dan akhirnya turunlah ayat melarang pengambilan alkohol 5:90-91.
6. Kenapa Allah perlukan 3 ayat, sedangkan Allah mestilah sudah tahu manusia akan menyalah gunakan minuman tersebut? Saya bukanlah penafsir hebat seperti Ibn Kathir yang mengaitkan hadis dan penurunan ayat-ayat al-Qur'an atau Sayyid Qutub yang menghasilkan tafsir yang dikatakan moden, tapi saya rasakan ini menunjukkan psikologi manusia yang sukar berubah dari yang buruk ke baik. Sukar untuk seseorang manusia berubah secara drastik, jadi pendekatan itu haruslah halus dan Allah menurunkan 3 ayat supaya mereka tidak culture shock kerana budaya itu menjadi sebahagian daripada mereka.
7. Sisters in Islam pulak memohon penangguhan hukuman ini dan meminta agar ia dikaji semula. Mungkin mereka menganggap ini satu penindasan kepada kaum wanita iaitu suatu hukuman fizikal. Tapi bukan mereka kah yang memperjuangkan hak sama rata dan adil bagi laki dan perempuan? Laki kena rotan, kenapa perempuan tak boleh pula? Sama rata? Nak sangat kesama rataan tersebut, nah ambik kau! Kartika pun dah setuju.
8. Tidak kurang juga media antarabangsa yang ada memberi komen tentang isu ini. Salah seorangnya ialah Imam Feisal Abdul Rauf. Dia mengatakan penggunaan perkataan ijtinab (menjauhkan atau avoid) di dalam ayat 5 : 90 adalah perkataan yang lebih lembut dari tahrim (pengharaman atau prohibition) di dalam artikelnya dan tidak bersetuju dengan hukuman tersebut.
9. Tetapi apa yang kita nampak di sini adalah kelemahan Mahkamah Syariah yang tidak diselarikan di seluruh Malaysia. Nampak kelonggaran yang senang dipermainkan oleh pihak asing. Tidak kurang jugak mereka yang hanya tahu mengkritik tanpa mengetahui hukuman rotan itu tidaklah se-brutal hukuman rotan di mahkamah sivil. Mungkin perlu dikaji semula sistem Mahkamah syariah dan menguatkan lagi Majlis Fatwa Kebangsaan seperti cadangan Dr. MAZA.
10. Aku bersetuju dengan pemuda PAS yang ingin mengemukakan cadangan mengawal penjualan arak, tapi sampai sekarang tak nampak lagi apa cadangan tersebut. MB Kedah pun menyoal tindakan pemuda PAS ini.
11. Tapi keadaan memang tidak dimudahkan akibat jeritan 'Ini hak asasi manusia!' daripada golongan yang memperjuangkan hak kebebasan.
12. Persoalannya siapa nak dipersalahkan? Salah kerajaan kerana tidak mengharamkan terus arak? Salahkan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak? Ataupun kau nak salahkan Liverpool kerana mengiklankan minuman keras di dada? Daripada menuding jari, aku masih rasa perlunya didikan dari semua pihak tentang keburukan minuman keras ini. Kalau kau nak salahkan Liverpool pun aku tak kisah.
13. Dan juga perlunya undang-undang yang selari dan lebih ketat agar pesalah-pesalah lain juga diberi hukuman yang sama dengan Kartika. Memang nampak kurang adil apabila ramai lagi yang terlepas sedangkan Kartika ditangkap dan dijatuhkan hukuman. Aku fikir perlunya perbincangan yang mendalam tentang hal ini kerana hukuman tersebut bukanlah sesuatu yang absolut, tetapi relatif yang boleh diubah-ubah kerana tidak pernah ditetapkan sebelum ini.
14. Harus diingatkan, janganlah kita pandang rendah kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan dengan hinaan yang tidak tentu fasal. Di dalam satu hadis : - “Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari). Artikel penuh boleh dibaca di sini.
15. Malangnya sekarang ada setengah golongan yang mengutuk malah ada yang ingin memboikot orang-orang yang melakukan kesalahan. Habes macholah kot nak boikot-boikot ni.
16. Apa-apa pun, marilah kita doakan agar Kartika dapat lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa selepas ini.
17. Itu sajalah kot! Sekian, terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment